ABU DHABI, 23 Disember- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat dua pusat teknologi canggih serta fasiliti pembuatan pertahanan milik Kumpulan EDGE, iaitu NIMR dan CARACAL, di sini hari ini.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada Lawatan Khas Seri Paduka Baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bermula pada Isnin (22 Disember)
Keberangkatan tiba baginda ke NIMR yang terletak di Pusat Perindustrian Tawazun, Abu Dhabi disambut oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EDGE, Hamad Al Marar.
Baginda kemudiannya berkenan dipersembahkan taklimat oleh Presiden Kluster Platform dan Sistem EDGE, Khaled Al Zaabi, mengenai keupayaan teknologi serta pembangunan industri pertahanan yang dijalankan oleh kumpulan berkenaan.
Selepas lawatan ke NIMR, baginda berkenan berangkat ke CARACAL dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hamad Al Ameri.
"NIMR merupakan pengeluar kenderaan tentera berprestasi tinggi berpangkalan di Abu Dhabi dan merupakan entiti di bawah EDGE Group manakala CARACAL merupakan pengeluar senjata kecil terkemuka."
"EDGE merupakan konglomerat pertahanan UAE yang terkemuka," kata kenyataan itu.
Semasa lawatan di CARACAL, baginda turut berkenan mempamerkan kemahiran menembak menggunakan senapang penembak tepat CSR 308 di lapangan sasar sejauh 100 meter.