fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim kurnia kereta, iktiraf sumbangan dan khidmat cemerlang

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Yang di Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Keluarga Diraja Johor menerusi Yayasan-Yayasan Diraja Johor hari ini berkenan mengurniakan Proton X90 kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh.

Turut menerima kereta daripada Seri Paduka Baginda ialah Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin, Mantan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

Menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, kurniaan itu disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Zailani Hashim.

"Kurniaan Seri Paduka Baginda adalah sebagai mengiktiraf sumbangan serta khidmat cemerlang," kata hantaran itu.

Dalam pada itu pelbagai sumbangan lain turut dikurniakan baginda dalam membantu rakyat yang memerlukan.

Malah, Seri Paduka Baginda turut memberikan 10,000 paket beras percuma seberat 10 kilogram di Johor tahun lalu dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah.

"Seri Paduka Baginda juga memberi kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas.

"Seri Paduka Baginda sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan serta jururawat," katanya.

Pada tahun 2010 Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 2018, Baginda mengurniakan Proton Suprima kepada semua Pegawai Daerah di Johor.

Dalam menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan, Seri Paduka Baginda juga pernah mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, pada September 2020.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI