KLUANG, 22 November - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijangka merasmikan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Tiga di Johor Bahru pada 11 Disember ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkhidmatan ETS Tiga itu akan mula beroperasi sehari selepas majlis perasmian.
Fasa awal operasi memberi fokus kepada perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, sebelum pengguna membuat transit untuk meneruskan perjalanan ke destinasi di utara.
“Peringkat pertama ini, kebanyakan tren akan menuju KL Sentral dahulu. Sudah tentu akan ada perjalanan yang sampai ke Butterworth dan sebagainya. Untuk ke Padang Besar, tempohnya lebih panjang. Tetapi bagi perjalanan lebih pendek seperti Johor Bahru ke Kuala Lumpur, kita akan pastikan kekerapan tinggi kerana tren akan ulang-alik," katanya.
Perjalanan 10 tren ETS Tiga dari Johor Bahru ke KL Sentral dijangka mengambil kira-kira tiga jam, dengan kekerapan setiap sejam.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pesta Rel Kluang di Laman Rel Mahkota, Kluang.
Dalam pada itu, Anthony turut memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bagi mempercepatkan proses penganugerahan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Johor.
