KUALA LUMPUR, 28 Jun – Seramai 509 Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menerima watikah tauliah dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Kem Perdana Sungai Besi di sini.
Istiadat berkenaan sebagai pengiktirafan kepada pegawai kadet yang berjaya menamatkan latihan dan secara rasmi bergelar Pegawai Muda dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Istiadat turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Pedang Kehormat dan Piala Khas kepada tujuh Pegawai Kadet Terbaik mewakili institusi latihan masing-masing termasuk ALK, ATD, KDSI I dan KTU-SLP.
Sejurus selesai perbarisan, majlis diteruskan di Dewan Tun Templer, Akademi Latihan Ketenteraan dengan sesi pengurniaan watikah oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaffar, disaksikan ibu bapa dan penjaga para pegawai.
Seramai 295 Pegawai Muda Tentera Darat, 114 Pegawai Muda TLDM dan 100 Pegawai Muda TUDM menerima watikah masing-masing, sebelum melafazkan Ikrar Taat Setia Perwira, sebagai simbolik komitmen mempertahankan kedaulatan negara.
Dalam sidang media selepas istiadat, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam menyifatkan pentauliahan itu sebagai detik penting dalam perjalanan kerjaya pegawai muda ATM.
“Hari ini menandakan perubahan daripada pegawai kadet menjadi pegawai bertauliah.
“Mereka kini secara rasmi adalah pegawai muda dalam Angkatan Tentera Malaysia dan memikul tanggungjawab besar terhadap negara,” katanya.
Beliau turut menyeru lebih ramai anak muda menyertai ATM yang disifatkan sebagai kerjaya profesional berteraskan disiplin, ilmu dan semangat patriotisme tinggi.
Turut hadir menyaksikan istiadat ialah Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, serta barisan Panglima-panglima perkhidmatan ATM.