SUBANG, 24 Oktober -Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, berangkat tiba di Malaysia hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.
Pesawat khas yang membawa baginda bersama delegasi, termasuk Putera Abdul Mateen, mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sekitar pukul 6.30 petang.
Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, selaku menteri pengiring.
Sebaik tiba, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada dua pegawai dan 34 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Ashraf Zulkifli.
Kehadiran baginda mencerminkan komitmen berterusan Brunei dalam memperkukuh hubungan serantau serta memantapkan kesepaduan antara negara anggota ASEAN.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, dengan tumpuan kepada pembinaan komuniti serantau yang bersatu, progresif dan berdaya tahan.
Sidang kemuncak kali ini dijangka antara yang terbesar dengan penyertaan pemimpin dari semua 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Afrika Selatan.
Ia dijangka berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).