fb fb fb fb fb

Presiden Brazil tiba di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, dan pasangannya, Rosângela Lula da Silva, tiba di Malaysia hari ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 / BERNAMA

SEPANG, 24 Oktober -Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan.

Pesawat khas yang membawa Lula bersama isterinya, Rosângela Lula da Silva, serta delegasi Brazil mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 3.30 petang.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebelum memeriksa kawalan kehormat oleh Rejimen Askar Melayu Diraja.

Menurut Wisma Putra, ini adalah lawatan rasmi pertama Lula ke Malaysia sejak beliau memulakan penggal baharu sebagai presiden pada Januari 2023.

Lula dijadual menghadiri sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Seri Perdana.

Kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula perkembangan hubungan dua hala Malaysia–Brazil serta meneroka kerjasama baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan, teknologi, tenaga boleh diperbaharui, industri halal dan pendidikan.

Perbincangan turut merangkumi isu global dan serantau, termasuk kerjasama dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), BRICS, ASEAN, serta isu Palestin dan perubahan iklim menjelang COP30.

Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka dimeterai, antaranya melibatkan bidang semikonduktor, sains, inovasi dan kerjasama diplomatik.

Lula juga akan menghadiri majlis pembukaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 serta majlis makan malam gala yang dianjurkan Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 27 Oktober.

Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM20.36 bilion (AS$4.46 bilion) tahun lalu.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.

Antara pemimpin dunia yang dijadual hadir termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Perdana Menteri China, Li Qiang dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN