KUALA KRAI, 24 Oktober - Jalan Bukit Sireh, Kampung Bedal dan Kuala Nal di daerah Kuala Krai, Kelantan mula dinaiki air susulan hujan sejak petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa ketika dihubungi RTM berkata, setakat ini tiada pemindahan penduduk dilakukan.
"Paras air sungai didapati meningkat namun setakat pukul 10.00 malam tiada panggilan untuk pemindahan.
"Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai meneruskan pemantauan di beberapa lokasi termasuk stesen minyak Caltex dan Petronas Guchil selepas laluan ke bandar dilaporkan mengalami banjir kilat," katanya.
Keadaan cuaca ketika ini hujan renyai dan pemantauan akan diteruskan sekiranya hujan berpanjangan.
Bagaimanapun sebahagian kawasan seperti Kampung Bedal juga menunjukkan paras air beransur surut.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di Kelantan termasuk Kuala Krai yang dijangka berterusan sehingga pukul 11.00 malam.
Cuaca tidak menentu itu boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat terutama di kawasan rendah seperti Bukit Sireh, Kampung Bedal dan Kuala Nal.
Penduduk dinasihatkan berwaspada dan mengelak aktiviti luar sepanjang tempoh amaran.
Orang ramai juga diminta memantau maklumat cuaca terkini melalui portal dan saluran rasmi MET Malaysia.