fb fb fb fb fb

SUKIPT 2022: Sukan mampu semarak patriotisme dan perpaduan - PM

TANJUNG MALIM, 15 Ogos- Sukan berupaya menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam Keluarga Malayasia yang perlu diterapkan dan dipamerkan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang serta status.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semangat Keluarga Malaysia ini perlu diteruskan momentumnya, bukan sahaja dalam gelanggang sukan, malah di arena institut pengajian tinggi IPT yang sangat sinonim dengan pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu.


(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berucap pada majlis perasmian
Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini)

"Lihat sahaja ketika ada perlawanan bola sepak atau badminton, lebih-lebih lagi yang di peringkat dunia tanpa mengira kaum dan agama – kita duduk semeja bersama- sama rakan-rakan di restoran untuk bersorak menyokong pasukan negara. Hakikatnya, sukan berupaya memberikan auranya yang tersendiri, bukan sahaja dalam kalangan yang bertanding, tetapi juga kepada yang menonton," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada atlet yang berjaya memecah rekod kebangsaan pada kejohanan SUKIPT 2022.

Beliau turut berharap agar program seumpama SUKIPT dapat terus membentuk dan melahirkan lebih ramai atlet IPT yang berprestasi tinggi dan berminda juara dalam kejohanan besar di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Ismail Sabri turut memberikan contoh seperti kisah jurulatih badminton negara Hendrawan yang telah memberikan kasutnya kepada pemain Jamaica, Samuel Ricketts agar beliau boleh meneruskan permainan.

Malah katanya sikap pesilat Malaysia, Siti Shazwana Ajak telah dipuji netizen selepas melindungi kepala lawannya dari Indonesia, Selly Andriani yang tudungnya tertanggal semasa mereka berdua beraksi di dalam gelanggang pada temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas.

“Dari sini kita boleh belajar bahawa ada lagi perkara yang lebih besar daripada sebuah pertandingan, iaitu kasih sayang, hormat-menghormati dan juga nilai kemanusiaan sesama pasukan yang berlawan.

Semangat beginilah yang kita mahu, tidak terhad kepada atlet dan kontinjen yang bertanding tetapi juga kepada semua penonton yang menyokong serta sukarelawan dan pegawai yang bertugas,” katanya. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon. 

Temasya SUKIPT yang sudah memasuki edisi kelima, berlangsung sehingga 21 Ogos ini dan  mempertandingkan 21 jenis sukan dengan penyertaan  66 universiti dari seluruh Malaysia.

Media Baharu