fb fb fb fb fb

RTM merakyatkan jenama ke setiap pelosok negeri - KP

KUALA LIPIS, 15 Ogos- Usaha merakyatkan jenama RTM ke setiap pelosok negeri khususnya kawasan luar bandar diteruskan dengan penganjuran pelbagai bentuk program di lapangan.

Meskipun RTM bukan satu jenama baharu, malah kepelbagaian produk-produknya tetap dipromosikan agar sentiasa mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berkata publisiti bagi produk-produk terbitan RTM harus dilipatgandakan dengan penganjuran program-program di lokasi, khususnya kawasan luar bandar.

Mengambil contoh program anjuran RTM Pahang bertajuk Hogoh Pahang 2022, jelasnya, nyata memberi impak kepada perkembangan dan penyebaran jenama RTM.

Beliau yang juga menyertai program Hogoh Pahang selama tiga hari, menyatakan secara keseluruhannya berpuashati dengan penganjuran program itu yang dikendalikan oleh Jabatan Penyiaran Negeri Pahang.

 
(Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud)

Jelas beliau, slot Zon Timur akan datang dijangka bakal diadakan di kawasan luar bandar di Terengganu yang juga destinasi terakhir bagi zon itu.

"Program-program yang dilaksanakan seperti Hogoh Pahang 2022 akan diteruskan ke negeri-negeri lain, sebelum ni dah ada di Jeli dan kedua di Pahang kemudian kita akan bergerak ke terengganu,insya-Allah kalau tiada apa-apa arah melintang kita akan ke Kuala Terengganu atau Hulu Terengganu untuk membawa program ini ke negeri-negeri lain," katanya pada hari terakhir penganjuran Hogoh Pahang di sini.

Program tiga hari Hogoh Pahang yang dianjurkan di Jelai itu, padat dengan pelbagai pengisian program yang menarik perhatian kanak-kanak sehingga dewasa.

Sebagai penutup tirai bagi program itu, turut diadakan Kempen Penanaman Pokok di Bandar Warisan Lipis bersama-sama Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lipis, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad.

Penganjuran program tanaman pokok itu sekaligus sebagai usaha menjayakan agenda nasional kerajaan iaitu penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

Lebih 30 anak pokok jenis Tekoma ditanam sekitar bandar Lipis.

Program amal ini turut disertai oleh Ahli Kelab Motorsikal Berkuasa Tinggi RTM (RTMBC) sebelum konvoi yang diketuai oleh Ketua Pengarah Penyiaran sendiri, Dato Che Roslan bergerak pulang ke Ibu Kota selepas berkampung di Jelai, Pahang selama tiga hari.

Rata-rata pengunjung yang hadir berharap program anjuran RTM ini dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai.

Hogoh@Pahang menutup tirai semalam dengan memuatkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung seperti pertandingan mewarna sempena bulan kemerdekaan kepada kanak-kanak, pertandingan memasak dan pertandingan akhir karaoke.


Media Baharu