fb fb fb fb fb

SUKBOM medan bina kecergasan fizikal, mental anggota JBPM

Datuk Nor Hisham Mohammad

KUANTAN, 21 Julai - Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) 2025 bukan sekadar acara sukan tahunan, malah menjadi medan pembinaan kecergasan fizikal, ketahanan mental dan semangat kepimpinan dalam kalangan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, penglibatan aktif dalam sukan memberi impak besar terhadap kesejahteraan emosi serta keupayaan anggota menghadapi cabaran situasi kritikal secara optimum.

"Sukan merupakan medium terbaik untuk pembentukan kekuatan tubuh dan daya tahan emosi, khususnya dalam adaptasi terhadap tekanan tinggi yang sering dihadapi anggota bomba," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) Pahang 2025 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Temasya sukan yang berlangsung di Kuantan dari 17 hingga 20 Julai itu menghimpunkan lebih 1,800 atlet dari seluruh negara berbanding tahun sebelumnya iaitu 1,350 orang yang diadakan di Kedah.

Dalam pada itu, JBPM menyasarkan pembentukan lebih ramai atlet pelapis sebagai persiapan awal menghadapi kejohanan antarabangsa, termasuk World Police and Fire Games yang dijadualkan berlangsung di Perth, Australia.

Usaha berkenanaan bukan sekadar untuk kejohanan semata-mata, malah sebahagian daripada strategi memperkukuh jenama bomba Malaysia di pentas antarabangsa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI