fb fb fb fb fb

SUK Perak ketuai kajian nilai tahap kerosakan akibat banjir

Foto RTM

TAIPING, 25 Oktober – Kajian menyeluruh di semua daerah terjejas banjir di Perak akan dilaksana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menilai tahap kerosakan dan keperluan bantuan tambahan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata hasil kajian itu akan menjadi asas utama bagi permohonan peruntukan tambahan kepada Kerajaan Persekutuan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau menjelaskan, kajian berkenaan akan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dengan penyertaan jabatan teknikal, agensi keselamatan dan pihak berkuasa tempatan.

“SUK akan mengumpulkan laporan lengkap daripada semua daerah termasuk Larut, Matang dan Selama (LMS), Kerian, Manjung dan Perak Tengah,” katanya selepas meninjau beberapa PPS, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM1.2 juta bagi pembaikan infrastruktur dan projek tebatan banjir di daerah LMS.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan, penjawat awam dan sukarelawan yang membantu penduduk terjejas banjir di seluruh negeri.

Datuk Seri Saarani pada masa sama menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa susulan amaran hujan berterusan yang masih dikeluarkan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN