KUANTAN, 25 Oktober - Sebanyak 21 juta transaksi dengan nilai jualan RM800 juta direkodkan sepanjang pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara setakat semalam.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan melalui inisiatif Payung RAHMAH.
Daripada jumlah itu, lebih 1.15 juta transaksi bernilai RM41.9 juta ringgit direkodkan di Pahang.
"Program Jualan Rahmah memberi menfaat kepada 21 juta rakyat Malaysia dan untuk 21 juta transaksi, di mana transaksi jualan untuk negeri Pahang sebanyak 1.15 juta transaksi sehingga 24 oktober dan nilai untuk rakyat Pahang RM41.9 juta", katanya pada program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Timur di sini, hari ini.
Program itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan akan berakhir esok melibatkan penyertaan 53 usahawan tempatan.
Pahang merupakan lokasi kelima penganjuran program tersebut dan seterusnya Selangor, dijadualkan berlangsung pada November depan.
Pada program tersebut beliau turut melancarkan Gula Rahmah sebagai produk mampu milik untuk rakyat yang dengan harga RM2.70 sekilogram.
"Gula rahmah adalah di mana syarikat yang telah dikeluarkan gula untuk mereka menjual di jualan rahmah dengan jenama gula rahmah dan mereka dibenarkan jual di jualan rahmah.
"Mereka dibenarkan menjual di jualan rahmah dengan harga RM2.70, jadi itu adalah kawalan KPDN untuk rakyat Malaysia", katanya.
Sementara itu, bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas tidak terputus menjelang musim tengkujuh, KPDN telah menetapkan dasar supaya pemborong-pemborong boleh menambah lesen kuota sebanyak 30 peratus.
Ujarnya, melalui inisiatif itu pemborong-pemborong boleh menyimpan stok barangan lebih untuk persediaan menghadapi banjir.