fb fb fb fb fb

Dakwaan tutup institusi pondok di Kelantan, Kedah tidak benar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Dakwaan kononnya kerajaan akan menutup institusi pondok yang tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah adalah tidak benar.

Perkara itu dinafikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menerusi satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, YADIM menyatakan sokongan penuh terhadap penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang menegaskan tiada sebarang arahan penutupan pondok dikeluarkan oleh kerajaan.

Sebaliknya, jelas YADIM, langkah yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama adalah bagi memperkemas sistem pendaftaran dan penarafan institusi pendidikan Islam, demi memastikan kebajikan pelajar serta kualiti pengajian agama terus terjamin.

YADIM turut menzahirkan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan imej institusi Islam serta menimbulkan kekeliruan masyarakat.

Sehubungan itu, masyarakat diseru agar merujuk saluran rasmi kerajaan seperti Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan JAKIM untuk mendapatkan maklumat yang sahih.

YADIM turut menegaskan komitmennya memperkukuh perananpondok, madrasah dan tahfiz sebagai teras pendidikan Islam bawah gagasan Malaysia MADANI.

EMMI NORALIZA ADNAN