TASEK GELUGOR, 25 Oktober - Seramai 404 penduduk terjejas banjir masih ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Lahar Yooi, melibatkan 114 keluarga sekitar daerah Seberang Perai Utara.
Paras air di kawasan perumahan penduduk terjejas di Lahar Yooi masih berada pada paras sama, berpunca daripada hujan berterusan, sejak malam tadi.
Seorang penduduk di kawasan tersebut Muhammad Fadzil Mat Isa berkata, dia terpaksa berpindah selepas diberitahu bekalan elektrik akan diputuskan sementara.
"TNB akan tutup elektriknya, jadi kita terpaksa pindah. Lagi pun sudah diarahkan berpindah untuk keselamatan. Sekarang ini air masih pada paras sama, risau juga jika paras air naik secara tiba-tiba," katanya di PPS Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi di sini.
"Tunggu air surut nanti saya dan suami cadang balik rumah sekejap sebab nak tengok keadaan rumah. Tengok lah dulu apa yang boleh buat," kata seorang lagi penduduk terjejas Noor Hayana Awang.
Seorang lagi penduduk Solehah Sarip berkata selepas mendapati paras air naik ke dalam rumah, keluarganya segera bersiap sedia untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara.
"Anak saya sedang tidur ketika air mula naik, kami terus bergegas untuk ke tempat selamat," katanya.