Sasaran 20,000 wanita jalani saringan awal kanser payudara hampir tercapai
PUTRAJAYA, 25 Oktober – Sasaran 20,000 wanita melakukan saringan awal kanser payudara dalam tempoh tiga bulan dari Oktober hingga Disember 2025, hampir tercapai.
Ini berikutan sambutan menggalakkan yang menyaksikan 19,678 wanita telah berbuat demikian dalam tempoh kurang sebulan dari 1 hingga 24 Oktober.
Menurut Menteri kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, KKM akan melakukan usaha berterusan untuk memperluaskan capaian saringan dan meningkatkan pengesahan awal kanser payudara menerusi inisiatif Post-Pink October .
"Walaupun Pink October bakal melabuhkan tirainya, namun yang penting KKM tegaskan semangat solidariti untuk menyebar mesej kesedaran (kepada golongan wanita) bagi mendapatkan saringan payudara, " katanya.
Tambah beliau, kanser payudara kekal sebagai kanser utama di Malaysia dengan lebih 50% kes dikesan pada tahap tiga dan empat.
Datuk Seri Dr Dzulkefly menyatakan demikian ketika ditemui dalam program PINK RIBBON RUN 2025 yang dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin di Putrajaya.
Dengan tema “Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa”, program ini menjadi simbol solidariti masyarakat dalam perjuangan melawan kanser payudara.
Pink Ribbon Run 2025 menghimpunkan 900 peserta dan turut menampilkan promosi kesihatan, sesi SembangWanitaXtra serta pemeriksaan saringan kanser payudara percuma khusus untuk kumpulan B40.
Dengan komitmen berterusan ini, KKM berharap lebih ramai wanita tampil menjalani saringan awal agar pengesanan serta rawatan dapat dilakukan dengan segera demi menyelamatkan lebih banyak nyawa.