fb fb fb fb fb

Malaysia optimis perjanjian perdagangan AS, perincian dalam semakan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara/RTM

KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Malaysia masih dalam peringkat perbincangan dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai satu perjanjian penting yang dijangka memberi kepastian kepada pelabur, termasuk berkaitan tarif tertentu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perbincangan tersebut kini dalam semakan dari sudut perundangan dan beliau kekal optimis mengenai hasilnya.

"Saya tidak boleh mengulas perkara tersebut kerana sedang dibincangkan. Banyak perkara sedang disemak dari sudut undang-undang tetapi kita berharap dan optimis bahawa mahu melihat ia selesai. Apabila berbincang dengan para pelabur dan syarikat, mereka mahukan kepastian. Saya rasa dengan perjanjian ini, ia akan memberi kepastian mengenai banyak isu yang telah dibangkitkan oleh mereka.

"Sudah tentu satu kepastian adalah kadar tarif, tetapi kemungkinan ada jenis yang dikecualikan daripadanya dan kita juga mahu kadar 19% itu dapat direndahkan lagi," katanya dalam satu sesi dialog dengan pemain industri di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Ibu Negara

Mengulas mengenai industri semikonduktor, beliau menjelaskan setakat ini sektor berkenaan tidak terjejas memandangkan kadar tarif kekal sifar, dan rundingan sedang diteruskan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ