fb fb fb fb fb

Subsidi RON95 RM1.99 seliter, kekal bagi penggunaan bawah 300 liter sebulan

Had kelayakan subsidi 300 liter sebulan BUDI95, mencukupi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Disember - Kerajaan mengumumkan subsidi petrol RON95 bagi pengguna yang memenuhi syarat penggunaan tidak melebihi 300 liter sebulan, akan dikekalkan pada harga RM1.99 seliter.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan, langkah berkenaan bertujuan memastikan majoriti rakyat Malaysia yang menggunakan kurang daripada 300 liter petrol sebulan, terus menikmati manfaat subsidi berkenaan.

"Berdasarkan data kerajaan sebelum permulaan penyasaran subsidi, 99% rakyat menggunakan kurang daripada 300 liter petrol sebulan.

"Sehubungan itu, had kelayakan subsidi sebanyak 300 liter sebulan di bawah BUDI95 adalah mencukupi dan wajar bagi menampung keperluan penggunaan peribadi majoriti rakyat,"katanya di Dewan Negara ketika menjawab soalan yang dikemukakan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berhubung rasional pelaksanaan BUDI95.

Dewan Negara turut diberi maklum, walaupun terdapat cadangan untuk menetapkan harga berperingkat pada paras RM2.10 atau RM2.30 selepas kuota, ia berpotensi menimbulkan ketirisan juga menambah beban fiskal negara.

"Sebarang perubahan akan diteliti agar rakyat terus memperoleh manfaat dan mengukuhkan kedudukan fiskal negara,"katanya.

FAUZIAH ABD RAHMAN