KUALA LUMPUR, 11 Disember - Kerjasama rentas agensi diperluas bagi memastikan aplikasi RAKAN digunakan secara lebih meluas dalam menangani isu perpaduan, penyebaran kebencian dan kes buli, termasuk dalam kalangan pelajar.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K.Saraswathy berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan inisiatif-inisiatif perpaduan dapat dimanfaatkan secara meluas.
Antara program terbaharu ialah Unity for Safety anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menghimpunkan hampir 1,000 pemimpin agama dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
"RAKAN telah meminta kerjasama pemimpin agama dan NGO untuk menguar-uarkan penggunaan platform ini, bagi memastikan individu yang sering mencetuskan perbalahan dalam isu komuniti dan agama dapat bertindak dengan lebih bertanggungjawab.
"Kita mahu mengelakkan isu perkauman dan agama daripada disalahgunakan, dan sebaliknya memanfaatkan sistem yang dibangunkan ini demi kebaikan rakyat," katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan potensi sistem itu dalam menangani kes buli, khususnya melibatkan pelajar dan anak muda dilengkapi ciri perlindungan pelapor atau 'whistleblower protection', selain membenarkan pengguna memuat naik sehingga empat gambar sebagai bahan sokongan.
Paparan papan pemuka atau dashboard masa nyata (real-time) pula membolehkan aduan dikenal pasti dengan lebih cepat, seterusnya mempercepat tindakan terhadap insiden yang memerlukan intervensi segera.
Usaha-usaha tersebut menunjukkan komitmen berterusan kerajaan memastikan setiap isu yang menjejaskan perpaduan sama ada di komuniti, sekolah atau media sosial dapat ditangani secara sistematik melalui platform RAKAN.