fb fb fb fb fb

Subsidi RON95 akan dilaksana pada separuh kedua 2025

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika ditemui media pada perasmian Persidangan Akauntan Antarabangsa (MIA) Tahun 2025 di MITEC / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dijadual bermula pada separuh kedua 2025.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kementeriannya sedang menumpukan kepada proses mengenal pasti kumpulan penerima subsidi yang layak sebelum pelaksanaan penuh dilakukan.

“Fokus sekarang adalah pastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak. Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri sedang meneliti paras kelayakan baharu untuk rakyat Malaysia,” katanya selepas merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan kad pengenalan sebagai mekanisme pelaksanaan subsid bersasar RON95, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Menurut beliau, pendekatan tersebut terbukti berkesan melalui pelaksanaan Skim SARA sebelum ini.

Buat masa ini, Kementerian Kewangan sedang memperkemas sistem sedia ada bagi memastikan pelaksanaan subsidi RON95 berjalan lancar dan mencapai golongan yang disasarkan.

Menjawab persoalan mengenai pandangan kerajaan apabila terdapat ramai pihak industri ingin menangguhkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Datuk Seri Amir Hamzah berkata, kerajaan mengambil maklum pihak berkepentingan mengenai hal berkenaan.

“Kerajaan selalu mengambil pandangan semua orang dan untuk pelebaran SST, kita berbincang juga dengan semua mereka yang berkepentingan dan maklum balas daripada mereka, kita dah pun mengambilnya,” katanya.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID