KUALA LUMPUR, 26 Mei – Malaysia, Vietnam dan Singapura memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) bagi meneroka potensi eksport tenaga elektrik boleh baharu antara ketiga-tiga negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara projek utama yang sedang dirancang adalah memanfaatkan sumber tenaga angin luar pesisir di Vietnam.
Beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pertukaran dokumen perjanjian pembangunan bersama antara dua konsortium hari ini menjadi tanda kerjasama serantau yang penting dalam tenaga bersih antara Vietnam, Malaysia dan Singapura, melibatkan bekalan tenaga boleh baharu (TBB).
"Tenaga yang dibekalkan dari Vietnam akan diagihkan ke dua destinasi yang mana sebahagian ke Malaysia, sebahagian lagi ke Singapura melalui sambungan tenaga rentas sempadan yang dijangka menjadi sebahagian daripada infrastruktur Grid Tenaga ASEAN.
"Apa yang dimeterai hari ini hanyalah permulaan. Perincian lanjut termasuk model perniagaan dan aspek teknikal akan dibincangkan secara lebih mendalam selepas ini," katanya.
Beliau berkata kepada media selepas menghadiri Majlis Pertukaran Perjanjian Tenaga Boleh Diperbaharui dan Mampan yang Berhubung (RISE) melibatkan syarikat dari MY Energy Consortium (Malaysia) yang terdiri daripada PETRONAS dan TNB, bersama PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) dari Vietnam dan Sembcorp Utilities dari Singapura.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, menyatakan komitmen berterusan syarikat itu terhadap kerjasama strategik berkenaan.
"Majlis pertukaran perjanjian ini menandakan satu pencapaian penting, bukan sahaja bagi Malaysia, tetapi juga Vietnam dan Singapura.
"Ia mencerminkan semangat kerjasama dalam usaha mempercepatkan peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih, dan kami berbangga dapat bekerjasama dengan TNB, PTSC dan Sembcorp,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan pula berkata, penyertaan Malaysia dalam inisiatif itu menunjukkan komitmen negara terhadap visi Grid Tenaga ASEAN.
"Kerjasama ini dilihat sebagai langkah penting dalam membangunkan infrastruktur hijau merentas sempadan, dan ia merupakan sebahagian daripada usaha kita mencapai matlamat pelepasan sifar bersih," jelasnya.