PUTRAJAYA, 20 November - Kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menarik subsidi minyak masak peket.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan, kenyataan beliau sebelum ini telah diambil di luar konteks sebenar.
Beliau berkata kenyataannya sebelum ini menyentuh mengenai usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan ketirisan, bukan menjurus kepada pemansuhan subsidi barangan keperluan itu.
"Saya ditanya soalan bersifat umum, apa kita nak buat pasal ketirisan minyak peket ini? Jadi jawapan saya ialah setiap program itu kalau ada ketirisan memanglah ada penilaian dan perbincangan.
“Itu yang disebut tetapi dilaporkan ialah kerajaan bercadang untuk menghapuskan subsidi minyak peket,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program realiti televisyen INNOVATHON musim kedua, di sini.