fb fb fb fb fb

Luruan monsun, hujan lebat dijangka berterusan hingga hujung November

Foto fail/ BERNAMA

PETALING JAYA, 20 November- Luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan sedang berlaku di timur Semenanjung dijangka berlanjutan sehingga hujung November ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Datuk Mohd Hisham Mohd Anip, analisis terhadap ramalan cuaca terkini menunjukkan kekuatan luruan monsun dijangka meningkat pada 27 November hingga 1 Disember 2024.

"Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan", katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor berkuat kuasa sehingga 23 November 2024.

"Amaran hujan berterusan (buruk) di negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Terengganu, Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin).

"Amaran hujan berterusan (waspada) di negeri Kelantan (Gua Musang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera), Johor (Mersing dan Kota Tinggi).

Sementara itu, amaran hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sabah dalam tempoh 23 November (Sabtu) sehingga 25 November 2024 (Isnin).

Ia melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat

Pada masa yang sama, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora telah dikemas kini bagi perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa sehingga 26 November 2024.

"Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih", katanya.

ROSLINA BINTI DIN