fb fb fb fb fb

Sarawak lulus pelaburan awal RM10.43 bilion pada suku ketiga

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan/Foto UKAS

KUCHING, 20 November  – Sarawak meluluskan pelaburan awal berjumlah RM10.43 bilion pada suku ketiga tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut Amar, pelaburan itu melibatkan 212 projek yang dijangka mewujudkan 5,400 peluang pekerjaan baharu tidak termasuk sektor utama dan perkhidmatan.

“Pelaburan Langsung Domestik (DIA), termasuk pelaburan semula oleh pelabur asing sedia ada, menyumbang RM7.18 bilion.

"Manakala Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan RM3.25 bilion,” katanya semasa sesi penggulungan bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Katanya, sejak 2020, 57 peratus daripada 356 projek yang diluluskan dalam pembuatan dan perkhidmatan telah direalisasikan.

Tambahnya, Sarawak terus menarik pelabur dalam industri berteknologi tinggi seperti elektronik, bahan api lestari, tenaga boleh diperbaharui, dan bahan komposit, dengan kelebihan sebagai destinasi teknologi canggih.

“Langkah ini memberi cerminan komitmen kerajaan dalam memastikan Sarawak terus maju dan berdaya tahan sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri ini,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN