KUCHING, 20 November – Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) sedang menyediakan pelan pengurusan buaya yang lebih komprehensif dengan kerjasama pakar antarabangsa bagi mengurangkan risiko serangan buaya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pelan tersebut penting memandangkan populasi buaya di negeri ini dianggarkan berjumlah 25,000 ekor di 22 lembangan sungai.
“Satu Memorandum Perjanjian (MoU) telah dimeterai antara SFC dan Wildlife Management International (WMI) di Darwin, Australia. WMI akan membantu dalam penggubalan pelan ini serta menyediakan latihan kepada pegawai SFC bagi meningkatkan pengurusan buaya di Sarawak,” katanya ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurut beliau, penyediaan pelan itu akan mengambil masa setahun, dengan laporan awal dijangka dikemukakan pada Disember ini bagi memberi gambaran langkah-langkah yang perlu diambil.
“Penyediaan Crocodile Rules juga sedang dirangka dan kini dalam peringkat semakan akhir sebelum dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan,” tambahnya.
Selain itu, SFC turut melancarkan aplikasi mudah alih Sarawak CrocWatch untuk memudahkan orang awam melaporkan penampakan buaya.
Sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 40 operasi pemantauan telah dilaksanakan, dan 35 ekor buaya berjaya dipindahkan dari kawasan penduduk ke lokasi lebih sesuai.