fb fb fb fb fb

Sarawak peruntuk RM300 juta proses ambil balik tanah projek SSLR

Sarawak-Sabah Link Road (SSLR)

KUCHING, 20 November - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini dimaklumkan sebanyak RM300 juta peruntukan disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi proses pengambilan balik tanah untuk pembinaan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata proses pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 122 kilometer (km) itu akan diselesaikan penghujung tahun ini.

"Proses pengambilan balik tanah bagi baki sepanjang 275.5 km akan diselesaikan pada 2025.

"Bagi projek Jalan Raya Kedua Sarawak, RM220 juta disalurkan kerajaan negeri untuk menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 255.6 km," katanya di Sidang DUN hari ini dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar.

Pada 4 November lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata fasa pertama projek SSLR meliputi laluan dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng di Sarawak telah mencapai 38 peratus pelaksanaan setakat September 2024.

Projek berkenaan yang bermula di Kampung Gelugus di Lawas dan melibatkan jarak 77 km ke Persimpangan Long Lopeng, dijangka siap menjelang November 2026.

GRACE AISYAH KEDAYAN