KUALA LUMPUR, 20 November- Semua pengendali bas diminta menghentikan penggunaan soket elektrik tiga pin termasuk pengecas mudah alih USB dalam bas serta-merta.
Arahan itu susulan laporan awal yang mendapati pendawaian tidak teratur pada perkakas tersebut menjadi punca kejadian seorang remaja maut akibat renjatan elektrik pada 1 November lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat pengendali baharu dan sedia ada kini diwajibkan menyerahkan laporan atau sijil pemeriksaan pendawaian yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.
"Kita pun perlu lihat juga sebab takut dari segi pendawaian, bukan pada soket atau USB, mangsa menggunakan USB. Dia bukan guna tiga pin, tetapi USB dipasang bersama dengan (soket) tiga pin.
"Jadi, sementara ini kita larang semua dahulu, sehingga pemeriksaan terhadap piawaian dalam bas dilakukan. Arahan ini berkuat kuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan yang baharu dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT)", katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen.
Bagi syarikat pengendali bas yang mahu menggunakan soket atau USB, beliau berkata, mereka perlu membuat pemeriksaan pendawaian dan diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) terlebih dahulu.
Sementara itu, satu Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden berkenaan.
Ia melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Suruhanjaya Tenaga, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).