KUALA LUMPUR, 22 Julai - Kerajaan menegaskan tiada sebarang cadangan untuk menarik balik atau memansuhkan subsidi gas petroleum cecair (LPG) dinikmati rakyat ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan dakwaan kononnya subsidi bahan itu akan ditamatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
Subsidi LPG dikekalkan dan tiada cadangan ditarik balik.
“Mandat yang diberikan kepada KPDN adalah bagi menangani ketirisan seperti penyelewengan atau penyeludupan LPG, bukan untuk menarik atau memansuhkan subsidi,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan kekal komited menyalurkan subsidi LPG berbentuk silinder kepada rakyat sebagai subsidi kepenggunaan yang memberi manfaat langsung kepada isi rumah.
Datuk Armizan berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.