KUALA LUMPUR, 22 Julai- Tiada perancangan untuk memperkenal produk Qdenga dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) buat masa ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia adalah saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap negara yang mencatat kadar penularan denggi tinggi.
Namun, Malaysia tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh WHO iaitu melebihi 60 peratus jangkitan pada usia sembilan tahun atau kemuncak umur kemasukan ke hospital akibat denggi adalah di bawah 16 tahun.
Tegasnya, KKM sentiasa memantau dan meneliti kemajuan vaksin denggi secara berterusan berdasarkan bukti saintifik yang kukuh dari segi keberkesanan, keselamatan dan kos sebelum dipertimbangkan dalam NIP.
"Malaysia masih belum memenuhi kriteria yang ditetapkan, namun kami terus memantau kemajuan vaksin denggi dari sudut bukti saintifik yang kukuh melibatkan aspek keberkesanan, keselamatan serta kos.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, vaksin denggi berjenama Qdenga telah mula ditawarkan di fasiliti kesihatan swasta seawal tahun 2016 atau 2018.
Buat masa ini, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin Qdenga selama dua tahun bermula 8 Februari 2024.
Sepanjang tempoh tersebut, syarikat pengeluar dikehendaki mengemukakan laporan berkala kepada PBKD yang merangkumi data keberkesanan dan keselamatan vaksin terhadap penerima tempatan," kata Dr. Dzulkefly di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus.