PADANG TERAP, 22 Julai – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan membina sebuah rumah baharu bagi keluarga mangsa kebakaran di Kampung Lubuk Perong, Padang Terap, Kedah yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian pada 17 Julai lalu.
Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas itu menyebabkan lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa berteduh di pondok buluh yang dibina di tepi tapak rumah mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya sedang meneliti kaedah terbaik untuk memulakan pembinaan rumah baharu yang dianggarkan bernilai tidak melebihi RM75,000 di kawasan tanah yang sama. Rumah asal yang musnah akan dirobohkan sepenuhnya.
“Kita akan pastikan mereka yang menerima musibah dan berhak, dibantu dengan segera. Hari ini juga kita bawa jentolak dan kontraktor untuk kerja-kerja pembersihan tapak bagi elakkan sebarang bahaya,” katanya kepada RTM selepas menyampaikan sumbangan tunai RM5,000 kepada keluarga berkenaan.
Mangsa, Mohamad Azhar Yaakob, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dan isterinya, Kamsiah Sulaiman, pembantu kedai makan kini akan berpindah ke rumah sewa berdekatan. LZNK akan menanggung bayaran sewa selama enam bulan.
Dalam nada sebak, Mohamad Azhar menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
“Datuk, terima kasih banyak atas sumbangan rumah… semoga Datuk dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Kamsiah pula berharap rumah baharu nanti akan memberi keselesaan kepada anak-anak mereka yang berusia antara 7 hingga 17 tahun, terutamanya untuk belajar dan menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.
“Harapan kami dapat hidup lebih selesa, untuk anak-anak pun lebih baiklah nanti,” katanya.
Kisah keluarga tersebut mendapat perhatian ramai selepas disiarkan dalam Berita Wilayah TV1 petang semalam.