KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kerajaan memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh, yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat atas faktor usia Dr Mahathir yang kini berusia 100 tahun, walaupun kerajaan berpandangan bahawa terdapat kesilapan besar dalam keputusan yang dibuat ketika itu.
“Saya dan Jemaah Menteri bersetuju untuk tidak ambil tindakan. Kalau diambil tindakan pun, nanti akan timbul tuduhan bahawa kita tidak adil. Jadi, kita tak payahlah teruskan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan berhubung hasil siasatan RCI mengenai keputusan pentadbiran terdahulu yang menarik semula permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh.
Tegas beliau, keputusan tidak mengambil tindakan bukan bermakna kerajaan menafikan kesilapan yang berlaku, tetapi mengambil pendekatan berperikemanusiaan terhadap tokoh berusia lanjut.