fb fb fb fb fb

Subsidi kepada penternak ayam dimansuhkan mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Kerajaan tidak lagi memberikan subsidi kepada penternak mulai 1 Julai ini, sebaliknya menyalurkannya kepada rakyat yang memerlukan khususnya golongan B40.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah itu bagi mengurangkan beban rakyat supaya tidak terlalu merasai kesan akibat kenaikan harga barang.

"Apabila kita perkenalkan subsidi untuk memastikan harga ayam tidak dinaikkan, di Malaysia ini harga apa pun boleh naik, jangankan harga ayam. Harga ikan kembung RM15 sekilogram pun mereka tak bising tetapi harga ayam rakyat akan marah. Kalau dibiarkan harga diapung, harga sekilogram ayam mungkin RM12 sekilogram tetapi kerajaan, bagi memastikan harga ayam tidak dinaikkan subsidi diberi kepada penternak supaya harga ayam kekal RM8.90 dan kerajaan berbelanja RM720 juta untuk pastikan harga ayam tidak dinaikan.

"Bagaimanapun ramai penternak tidak menuntut subsidi diberikan. Oleh itu mulai 1 Julai nanti, kita tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak tetapi jumlah terbabit akan diberikan terus kepada rakyat,"kata Ismail.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) dan Sambutan Ulang Tahun ke-48 BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Tambahnya kerajaan akan memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada rakyat khususnya B40 yang terkesan akibat kenaikan harga barang.

Mekanisme bagi pelaksanaannya akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kelak.

Ia bagi memastikan bebanan kenaikan harga tidak terlalu dirasai kerana ada sumbangan tunai ini oleh kerajaan.



Media Baharu