fb fb fb fb fb

StudioCanal berminat buat penggambaran filem di Malaysia

(FOTO BERNAMA)

CANNES, 18 Mei - StudioCanal yang merupakan penerbit dan pengedar filem Perancis, menyatakan minat menjadikan Malaysia destinasi pengambaran untuk naskhah filem terbaharu mereka.

Pengarah Suraya Filem Production (M) Sdn Bhd, Shures.R berkata hasrat itu dinyatakan Ketua Pengeluaran StudioCanal, Elsa Bonomi serta Ketua Jualan dan Pengedarannya, Mathilde Mourey semasa sesi perbincangan dan makan tengah hari bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa semalam.

Beliau berkata syarikat tersebut juga berminat dengan rebat tunai 30% melalui Insentif Filem di Malaysia (FIMI) dan tambahan hingga 5% melalui ujian budaya.

"StudioCanal telah memutuskan untuk membawa ketua pasukan produksi mereka ke Malaysia untuk meninjau tempat yang ingin untuk projek akan datang," katanya pada majlis resepsi sesi perangkaian delegasi Malaysia sempena Marche Du Film, di sini.

(Shures.R/BERNAMA)

Menurut Shures.R, mempromosi Malaysia sebagai destinasi penggambaran antarabangsa akan memberi pulangan yang baik kepada negara terutama dari segi ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan untuk bekerja dengan syarikat antarabangsa.

Untuk rekod, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan FINAS telah menyertai pasaran antarabangsa sejak 2009 dengan penjualan kandungan kreatif oleh syarikat produksi tempatan yang menyertainya sepanjang 12 tahun lepas sebanyak RM600 juta.

Laporan Mazliha Hamzah

Media Baharu