fb fb fb fb fb

Beberapa kesalahan dikenal pasti hasil pemantauan di hotel Langkawi

LANGKAWI, 18 Mei - Tidak membuat sebarang permohonan bagi mendapatkan Perakuan Penginapan dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24D Akta 446.

Itu antara kesalahan yang berjaya dikesan Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) semasa pemantauan terhadap dua buah premis terkemuka di bawah sektor perhotelan dan pelancongan di Langkawi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata operasi kali ini tidak sahaja memfokuskan kepada Akta 446 sebaliknya turut melihat sekiranya majikan melakukan pelanggaran undang-undang perburuhan dan kebajikan pekerja.

 

(JTKSM ketika melakukan pemantauan di premis terkemuka
di bawah sektor perhotelan dan pelancongan di sini)

"Jadi kita harap mereka membuat permohonan secepat mungkin supaya mereka telah diiktiraf. Dan sekiranya berlaku apa-apa, juga memberi satu perlindungan kepada pengurusan perhotelan yang ada, kerana mereka telah laksanakan apa yang telah ditentukan oleh kerajaan melalui Akta 446 iaitu Standard Operating Procedure," kata Awang.

Beliau ditemui media semasa mengetuai Operasi Penguatkuasaan Khas Bersepadu Dalam Sektor Pelancongan Dan Perhotelan di Langkawi.

Setakat ini sejumlah 2,269 majikan telah diperiksa di seluruh Kedah yang melibatkan 7,455 penginapan dan sebanyak 528 majikan telah diberikan Perakuan Penginapan.

Media Baharu