fb fb fb fb fb

100,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan MRTM di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 Mei- Lebih 100,000 pengunjung disasarkan hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri yang akan berlangsung di Dataran Drawbridge di sini bermula esok hingga Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program itu yang dianjurkan khusus bagi tujuan memperkenalkan keunikan dan keindahan Terengganu kepada masyarakat luar.

Beliau berkata antara aktiviti yang dirancang oleh agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama kerajaan negeri ialah 'tewah ngail' iaitu pertandingan memancing dengan pemakaian kain pelikat dan semutar, rewang raya, kenduri rakyat, pertandingan lumba perahu, himpunan keris, pertandingan kambing cantik, pertandingan ayam ratu dan ceramah agama.

“Selain itu turut diadakan pelbagai demonstrasi dan pertandingan masakan seperti membuat ketupat sotong, kuih bunga ros, kukur kelapa, perah santan dan menganyam ketupat.

“Acara kemuncak ialah pada hari Jumaat sebelah malamnya yang akan diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sembang santai Aidilfitri Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Ditanya pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah untuk penganjuran MRTM pula, beliau berkata MOTAC menyatakan Terengganu sangat terkenal dan kaya dengan budaya dan adat yang bersesuaian untuk diketengahkan kepada seluruh Keluarga Malaysia di negara ini.

“Kita berterima kasih kepada MOTAC dan yakin penganjuran MRTM ini akan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat seterusnya mempromosikan Terengganu sebagai destinasi penganjuran program berskala besar yang diharap dapat menarik kedatangan pelancong antarabangsa untuk merasai sendiri kemeriahan sambutan Aidilfitri di Malaysia.

Antara aktiviti yang dirancang oleh agensi di bawah MOTAC
dengan kerjasama kerajaan negeri

“Kita sangat mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk hadir sepanjang program ini berlangsung dan untuk MRTM, mereka akan dihidangkan dengan pelbagai juadah raya serta menu tradisional seperti nasi dagang, tapai pulut dan ketupat palas," katanya.

“Ketika ini, persiapan akhir di lokasi program sedang giat dijalankan untuk memastikan MRTM berjalan lancar agar pengunjung dapat merasakan kemeriahannya dan rakyat Terengganu pula dapat menikmati tempiasnya terutama untuk peniaga kecil-kecilan,” katanya.

Media Baharu