KUALA LUMPUR, 13 November - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta dan antarabangsa bagi memperkukuh dana penyelidikan.
Ini selaras usaha mencapai sasaran 2.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) menjelang 2030, sekali gus memacu ekosistem inovasi negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata perbandingan dengan negara maju seperti Korea menunjukkan Perbelanjaan Kasar Negara untuk Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) negara tersebut mencecah lima peratus daripada KDNK negara itu.
"KDNK mereka besar, KDNK mereka dalam lingkungan 1.7 atau 1.8 trillion US Dolar berbanding dengan Malaysia 400 lebih bilion US Dolar. Jadi peratusan mereka tinggi, saiz KDNK mereka pun tinggi
"Jadi ini ini memberi impak secara langsung ke atas kemajuan negara dan juga kerancakan ekonomi negara tersebut dan itu sebabnya kita sedang giat, cuba merancakkan lagi aktiviti-aktiviti dan dana untuk pembiayaan untuk aktiviti R&D", katanya ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir di Dewan Rakyat.
Sementara itu, MOSTI memperkenalkan Indeks Inovasi Malaysia (MII) sebagai alat penanda aras untuk memacu tahap pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan tempatan. Ini sekali gus meningkatkan kedudukan negara dalam Global Innovation Index menjelang 2030.
Menterinya, berkata Malaysia Innovation Index (MII) menyediakan profil ekosistem inovasi bagi ketiga-tiga belas buah negeri dan Wilayah Persekutuan.
Ia membolehkan kerajaan negeri dan persekutuan melalui MOSTI merangka dasar dan tindakan yang bersasar berdasarkan data sebenar.
"MII ataupun Malaysia Innovation Index ini akan menyediakan data asas ataupun baseline untuk melihat semula dasar sains teknologi dan inovasi negara dan memastikan perancangan lima tahun negara didorong oleh data yang sah di peringkat subnasional dan bukan sahaja data agregate kebangsaan iaitu GII", katanya.
Tambahnya, indeks ini membolehkan setiap negeri menilai kemajuan inovasi dengan lebih tepat dan menyesuaikan strategi pengkomersialan R&D. Pada masa sama, dapat meningkatkan keberkesanan program serta memacu penciptaan inovasi tempatan yang kompetitif di peringkat global.
Beliau berkata demikian semasa menjawab Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.