fb fb fb fb fb

Lelaki ditemukan meninggal dalam bilik mandi terkunci

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) digerakkan ke lokasi kejadian/Foto Bomba

BATU NIAH, 13 November — Seorang warga emas ditemukan meninggal dunia selepas terkunci di dalam bilik mandi di kawasan SPAD Ladang Kosa Oil Palm, Jalan Pan Borneo Miri-Bintulu tengah hari tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Kok Anak Saweng, berusia 61 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah Rary Binjie, berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis pada 10.59 pagi bagi mendapatkan bantuan membuka pintu bilik mandi yang terkunci.

Beliau berkata sepasukan anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) digerakkan ke lokasi dan mendapati mangsa berada dalam bilik mandi sebelum disahkan telah meninggal dunia.

“Anggota memakai pakaian perlindungan khas sebelum memecahkan pintu dan sebahagian dinding menggunakan crowbar bagi memberi ruang kepada polis mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi yang diketuai PBK I Jeffery Majin bersama empat anggota tamat sepenuhnya pada 12.16 tengah hari.

GRACE AISYAH KEDAYAN