KUALA LUMPUR, 28 Mei- Struktur 'wakalah bil-khadamat’ akan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh ekosistem pelaburan di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia akan dimuktamadkan menjelang 2025.
Komitmen tersebut turut menekankan inovasi struktur sukuk, khususnya dalam penyelarasan serta penekanan kemampanan.
"Saya juga berbesar hati untuk memperkenalkan dimensi baharu kepada terbitan sukuk kami di bawah kerajaan Malaysia melalui struktur 'wakalah bil-khadamat’.
"Kami merancang untuk memuktamadkan sukuk ini menjelang 2025, sambil berusaha untuk menyelesaikan semua penyusunan dan penyediaan yang diperlukan.
"Kami akan terus berinovasi pada struktur sukuk, terutamanya untuk memenuhi keperluan peralihan iklim dan tenaga yang terbaik bersama-sama dengan kemampanan, membina inovasi masa lalu seperti struktur sukuk ihsan SRI (pelaburan bertanggungjawab sosial) dan kaitan dengan wakaf," kata Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam dengan tema Ekonomi Islam Global: Agenda Reformasi Untuk Kesejahteraan Bersama di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour.
Dalam pada itu, Anwar berkata hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) akan terus dimanfaatkan menerusi perdagangan kewangan Islam melalui kerjasama ekonomi antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Malaysia akan terus meneraju pembangunan program global sebagai pakar ekonomi Islam, selain akan menyokong inisiatif kewangan sosial Islam.
"Saya menyeru pemimpin OIC untuk memudahkan akses kepada meningkatkan inovasi, perdagangan dan pelaburan.
"Ini memandangkan saiz global kewangan perdagangan Islam hari ini mewakili hanya kurang daripada 5 peratus daripada anggaran jumlah aktiviti pembiayaan perdagangan oleh negara anggota OIC.
"Ia akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Islam," kata Anwar.