fb fb fb fb fb

Puasa sunat, solat tahajjud rahsia Lukman peroleh 11A+ dalam SPM

Lukman Hakim Shahrul Hasni meraih keputusan cemerlang 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023

PERMATANG PAUH, 28 Mei - Menyemat prinsip rukun iman dalam kehidupan menjadi rahsia kejayaan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (L) Al-Mashoor yang meraih keputusan cemerlang 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Lukman Hakim Shahrul Hasni, 18 tahun berkata, dia sering mengamalkan solat tahajjud, solat taubat serta solat dhuha setiap hari kerana percaya Allah itu sentiasa ada dalam apa jua cabaran dan kesusahan yang dihadapi.

“Allah itu selalu tolong ketika saya susah hati, sebab SPM pun susah hati takut tidak dapat nak memenuhi harapan orang lain. Semua orang menetapkan kita (untuk mendapat) straight A, tapi apa yang dijawab ketika peperiksaan tidak sempurna sangat, tapi Alhamdulillah, Allah itu ada.

“Tidak lupa juga kena mendekatkan diri dengan Tuhan, Maha Pencipta, tidak lupa untuk bangun tahajjud pada waktu malam dan minta doa banyak-banyak, mohon doa mak ayah dan juga cikgu," kata Lukman kepada RTM.

Lukman juga berkongsi dia akan memulakan rutin hariannya dengan mengamalkan puasa sunat dan bangun seawal pukul 4.30 pagi.

“Selepas bangun awal kadang-kadang untuk menghafal lagi senang terutamanya untuk subjek biologi," kongsinya lagi.

Lukman merupakan anak bongsu daripada empat beradik berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Hayat dan bercita-cita menjadi doktor gigi percaya bahawa setiap kejayaan perlukan pengorbanan.

“Kadang-kadang rasa penat sangat tapi saya percaya jika nak berjaya tetap ada pengorbanannya. Kita kena korbankan masa kita untuk mencapai cita-cita," kata pelajar cemerlang itu lagi.

Sementara itu, bapanya, Shahrul Hasnni Sohib, 58, anaknya bukan sahaja tekun dalam pelajaran malah tidak meninggalkan ibadah sunat sebagai rutin hariannya.

Kakaknya, Nur Zakiah Shahrul Hasnni, 30, turut berdebar menanti keputusan SPM adiknya.

“Alhamdulillah memang tak sangka lah, sebab tanya Lukman sebelum keputusan diumumkan sama ada dia boleh ke dapat A+, sebab ada beberapa mata pelajaran yang menjadi kebimbangan dia terutamanya subjek matematik tambahan, bimbang keputusan itu tidak selari dengan harapan dia, tapi Alhamdulillah rupanya dapat A+," kata kakakknya yang turut gembira dengan keputusan Lukman.

GRACE AISYAH KEDAYAN