(Konstabel Muhamad Irfan Irham Badrul Hisham (DUA DARI KIRI) bersama keluarga)
IPOH, 5 Julai- Kematian pelatih Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta semalam berpunca daripada strok haba.
Ia selepas bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), pagi tadi.
Komandan PLPGA Ulu Kinta, Superintenden Mohammad Hafiz Kadir ketika dihubungi berkata, bedah siasat ke atas mayat Konstabel Muhamad Irfan Irham Badrul Hisham selesai pada pukul 11.30 pagi.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Kem PGA Ulu Kinta untuk dimandikan sebelum disembahyangkan.
Tambah beliau, jenazah dibawa pulang ke kampung keluarganya di Felda Keratong, Bandar Tun Razak Pahang untuk dikebumikan.
Dalam kejadian petang semalam, pelatih itu tiba-tiba rebah dan diserang sawan ketika sedang menjalani latihan kursus asas Pasukan PGA Siri 1/2023.
Pelatih tersebut kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 5.00 petang.
(Jenazah Muhammad Irfan dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq
di Kem PGA Ulu Kinta untuk dimandikan sebelum disembahyangkan)