IPOH, 5 Julai- 20% kekuatan daripada kira-kira 9,000 pegawai dan anggota polis Perak akan membantu penugasan negeri terlibat dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN ke-15), Ogos nanti.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata senarai nama anggota dan pegawai terlibat telah diserahkan kepada Bukit Aman untuk ditentukan.
Tiga negeri yang akan dibantu pada pilihan raya nanti ialah Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.
"Kita tidak mahu menjejaskan kekuatan yang ada ini. Kita akan pastikan pegawai dan anggota mencukupi untuk menjalankan tugas di negeri, kemudian jika ada lebihan kita akan beri kepada negeri lain," kata Mohd Yusri kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan laporan mengenai punca kejadian bilik siasatan jenayah yang terbakar akan diketahui dalam tempoh dua minggu.
Ia masih di bawah siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.
Terdahulu, bilik siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dilaporkan mengalami kebakaran pada minggu lalu.
(Foto Fail)