fb fb fb fb fb

"Jangan jual peralatan sumbangan kerajaan"- LKIM

(Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil menyampaikan bantuan Program Peningkatan
Pendapatan-Insentif Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) kepada 50 orang nelayan
daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat)

TUMPAT, 5 Julai- Golongan nelayan yang menerima bantuan peralatan penangkapan ikan oleh kerajaan diingatkan supaya tidak menjual kemudahan tersebut.
 
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebaliknya bantuan yang diberikan seperti enjin bot, pukat dan kotak ikan berinsulasi perlu dimanfaatkan demi meningkatkan pendapatan dan ekonomi keluarga.
 
Katanya, golongan nelayan akan berdepan dengan tindakan tegas termasuk pembatalan pendaftaran ahli sekiranya mereka didapati terlibat dengan aktiviti berkenaan
 
Bagaimanapun, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkait kegiatan tersebut di seluruh negara.
 
"Kesannya besar, termasuk pembatalan ahli sekali gus tidak layak untuk mendapat bantuan lagi dari daripada kerajaam, maka kita harap pra nelayan peka dan serius menggunakan alatan yang diberikan.

"Setakat ini, selepas langkah pemutihan dijalankan, kita nampak keseriusan di peringkat bawah untuk pastikan sumbangan kerajaan digunakan secara optimum dan telus. Kita juga belum mendapat apa-apa laporan tentang kegiatan menjual barang-barang,"katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Rahmah Mesra Madani dan Sesi Libat Urus Pengerusi LKIM bersama Nelayan di Kompleks Perikanan LKIM Getting, Tumpat, Kelantan.
 
Terdahulu, beliau turut menyampaikan bantuan Program Peningkatan Pendapatan-Insentif Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) kepada 50 orang nelayan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat.
 
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz yakin, menerusi pemutihan yang dijalankan, golongan nelayan yang dipilih adalah merupakan mereka yang benar-benar memerlukan barang tersebut dalam aktiviti perikanan mereka.
 
Jelasnya, bagi mengekang kegiatan penjualan sumbangan kerajaan, setiap persatuan nelayan dinasihatkan supaya membuat pemantauan bantuan berkenaan setiap bulan.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang krisis bekalan ikan direkodkan di seluruh negara.
 
Jelasnya, meskipun negara dilanda cuaca panas baru-baru ini, namun, bekalan tersebut masih mencukupi berikutan para nelayan masih mampu turun ke laut.
 
Menurut beliau sekiranya berlaku juga masalah kekurangan ikan, pihak LKIM akan mengeluarkan stok ikan segar beku (QFish) bagi menstabilkan bekalan protein tersebut.


(Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil)

Media Baharu