fb fb fb fb fb

Strategi tingkat kehadiran polis di sekolah dilaksana dalam masa terdekat - KDN

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Simposium Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia 2025 hari ini / BERNAMA

ALOR GAJAH, 18 Oktober - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meningkatkan rondaan serta kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan sekolah dalam masa terdekat bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu merupakan strategi bersepadu bagi membendung kejadian jenayah di sekolah dan mengembalikan keyakinan warga pendidik serta ibu bapa terhadap keselamatan institusi pendidikan.

Menurut beliau, Kabinet telah mengarahkan KDN melalui PDRM untuk merangka jadual lawatan lebih kerap dan mempertingkat rondaan di kawasan sekolah sebagai langkah pencegahan proaktif.

“Rondaan ini bersifat omnipresent, yang bermaksud kehadiran polis di kawasan sekolah menunjukkan tumpuan dan komitmen serius pihak berkuasa terhadap aspek keselamatan pelajar serta warga sekolah,” katanya.

Selain itu, Datuk Seri Saifuddin menjelaskan, anggota polis juga akan digerakkan melaksanakan program pencegahan jenayah yang lebih inklusif bagi meningkatkan kesedaran pelajar terhadap risiko dan bahaya aktiviti jenayah.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) 2025: “Building Trust, Ensuring Transparency” di Simpang Ampat, Alor Gajah, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, JPPM turut melancarkan Registry of Societies Electronic System (eROSES 2.0), sistem berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat kecekapan serta integriti urusan pendaftaran pertubuhan.

“Melalui pelancaran eROSES 2.0, banyak urusan kini boleh diselesaikan di hujung jari menggunakan peranti digital. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan integriti dan kecekapan sistem penyampaian jabatan, tetapi juga membuktikan bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah penggunaan inovasi dan teknologi,” ujar Datuk Seri Saifuddin.

Beliau menambah, kerajaan memberi penekanan terhadap pembangunan masyarakat sivil melalui pertubuhan berdaftar, dan dengan kemudahan baharu ini, lebih banyak pertubuhan diharap akan mendaftar dengan JPPM bagi memperkukuh pembangunan sosial serta kemasyarakatan di negara ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE