MERLIMAU, 18 Oktober - Program Madani Rakyat (PMR) antara platform terbaik membolehkan rakyat mengenali profesion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan lebih dekat.
Seterusnya menarik minat generasi muda, khususnya pelajar sekolah untuk menyertai pasukan pertahanan itu.
Panglima 3 Divisyen ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, program seperti ini juga dapat meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap tahap keselamatan negara.
"Apabila anak-anak dan pelajar sekolah hadir dan melihat sendiri, mereka lebih yakin untuk menyertai profesion ketenteraan dari semasa ke semasa," katanya.
"PMR juga menjadi platform untuk memperlihatkan kemampuan ATM menangani sebarang anasir dan ancaman dari luar negara," tambahnya lagi ketika ditemui pada Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau.
Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria berkata, hampir 150 pegawai dan anggota tentera dari tiga cabang ATM iaitu darat, udara dan laut berkampung selama tiga hari sehingga esok.
Turut dipamerkan, pelbagai aset dan 38 demontrasi pertahanan yang dipersembahkan kepada pengunjung.
Hari pertama penganjuran PMR 2025 Melaka semalam berjaya menarik kehadiran 73,130 orang.