fb fb fb fb fb

Akta Kanak-Kanak 2001 masih relevan tangani jenayah remaja – Peguam

Peguam, Zulkifli Awang/RTM

KUALA LUMPUR, 18 Oktober -Akta Kanak-Kanak 2001 masih relevan dan sesuai digunakan dalam menangani kes jenayah melibatkan remaja pada masa ini.

Peguam, Zulkifli Awang berkata, perintah-perintah yang diperuntukkan bawah akta tersebut masih bersesuaian dengan keperluan semasa, namun tanggapan masyarakat sering kali melihat hukuman yang dikenakan terhadap remaja sebagai terlalu ringan.

"Akta ini masih relevan, perintah-perintah yang termaktub di dalam akta ini amat bersesuaian sebenarnya, cuma stigma masyarakat yang mengatakan bahawa perintah-perintah ini terlalu lembut dan sebagainya. Penubuhan akta ini adalah untuk memulihara, memelihara dan memberi perlindungan kepada golongan remaja kerana mereka merupakan aset negara dan masih mempunyai masa depan yang panjang", katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia, di sini.

Katanya, setiap pesalah remaja wajar diberikan peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan.

Pendekatan tersebut selari dengan Akta Kanak-Kanak 2001 yang menekankan aspek pemulihan, bukannya hukuman semata-mata.

"Proses perundangan terhadap kanak-kanak adalah berbeza. Perintah-perintah yang bakal dikenakan sekiranya didapati bersalah adalah bersesuaian dengan fakta kes tersebut. Sekiranya kes itu berat seperti yang berlaku baru-baru ini, mereka juga akan dikenakan tahanan dan bukannya dibebaskan atau dilepaskan begitu sahaja. Proses tahanan ini berbeza dengan tahanan pesalah dewasa, bagi pesalah remaja akan dikenakan proses tahanan pemenjaraan bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong", katanya lagi.

TETITIA YUSOFF