fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN : 102 sekolah di KL, Selangor laksana PdPR

FOTO FAIL / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Sebanyak 102 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor dibenarkan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta Bekerja Dari Rumah (BDR) mulai 23 hingga 29 Oktober ini, sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), langkah itu diambil bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas susulan penutupan jalan dan kawalan keselamatan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh persidangan berlangsung.

KPM menasihatkan ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah yang terlibat supaya merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pelaksanaan PdPR dan BDR.

"Pengalaman melaksanakan PdPR dan BDR ketika pandemik COVID-19 serta semasa penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei lalu membuktikan kaedah tersebut berkesan dalam memastikan kelangsungan pembelajaran, di samping menjaga kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah," menurut kenyataan tersebut.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia berprofil tinggi terbesar setakat ini dengan kehadiran beberapa kuasa besar dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini memaklumkan antara yang dijangka hadir ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta kemungkinan Presiden China, Xi Jinping, selain ketua kerajaan negara ASEAN dan rakan dialog lain.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE