KOTA TINGGI, 18 Oktober - Garis panduan baharu bagi memastikan kes mahkamah melibatkan kanak-kanak diselesaikan dalam masa setahun akan diumumkan pada Jumaat depan (24 Oktober).
Menurut Menteri Di Jabatan Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas itu diperkenalkan untuk memperkukuh sistem keadilan kanak-kanak.
SOP itu juga dapat mengatasi kelewatan prosiding mahkamah yang menyebabkan mangsa enggan tampil semula sebagai saksi apabila sudah dewasa.
"Kita mahu supaya semua kes yang melibatkan kanak-kanak, sama ada yang didakwa ataupun menjadi mangsa mesti diselesaikan dalam masa setahun. Itu akan menjadi garis panduan kepada mahkamah, " jelas beliau.
Datuk Seri Azalina berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Pengerang, Kota Tinggi.