KUALA LUMPUR, 18 Oktober -Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersedia untuk menawarkan khidmat sokongan termasuk bantuan psikologi dan kaunseling kepada murid yang menjadi mangsa atau pemangsa dalam kes jenayah dan salah laku di sekolah.
Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Sri Ayub Yaakob dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan setiap sekolah menjadi persekitaran paling selamat serta bebas daripada sebarang bentuk jenayah atau kekerasan.
Katanya pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dalam menganjurkan program intervensi dan kesedaran pencegahan jenayah melalui latihan serta seminar yang melibatkan golongan pendidik, ibu bapa dan komuniti.
"Buli, jenayah dan salah laku murid di sekolah bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada mangsa tetapi juga boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sekolah secara keseluruhannya. Kejadian seperti ini bukan saja melibatkan kecederaan fizikal, namun memberi kesan jangka panjang terhadap emosi dan mental murid yang akhirnya boleh mempengaruhi perkembangan mereka dalam kehidupan", katanya menerusi kenyataan itu.
Tambahnya, MCPF akan terus mengadakan inisiatif pendidikan dengan memperkasakan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di sekolah-sekolah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid mengenai
bahaya buli, salah laku serta jenayah yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Beliau juga menyeru semua sektor masyarakat, termasuk pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti setempat, badan bukan kerajaan
(NGO), ahli akademik dan penyelidik, untuk menyumbangkan kepakaran dan khidmat bakti dalam menangani isu tersebut.