KOTA TINGGI, 18 Oktober - Jumlah Mahkamah Maritim akan ditambah bagi bagi mempercepat perbicaraan kes jenayah maritim dan perkapalan yang semakin meningkat.
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini hanya terdapat sebuah Mahkamah Tinggi Admiralti di Kuala Lumpur.
Kerajaan bercadang menambah beberapa lagi mahkamah maritim, antaranya di Johor, Sabah, Sarawak serta Langkawi dan Pulau Pinang.
"Orang kata tidak banyak kes. Tetapi sekarang ni, kes-kes akan bertambah, sebab dah banyak perdagangan menggunakan jalan laut dan sebagainya," katanya.
Datuk Seri Azalina berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Bagi Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Kota Tinggi.
Ketika ini, pihak kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Pengangkutan berhubung penambahbaikan undang-undang maritim susulan peningkatan penggunaan laluan laut negara.
Cadangan tersebut dijangka akan dibentangkan di parlimen pada tahun hadapan.