KUANTAN, 18 Oktober - Tiga fasa utama rangka kerja pengurusan bencana dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Pada MTL yang lalu, sektor telekomunikasi paling kritikal terjejas apabila terdapat gangguan di 597 stesen pemancar dengan 54.1% adalah di wilayah Pantai Timur.
Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali berkata, bagi fasa pertama, pihaknya telah mengaktifkan pelan kesiapsiagaan sektor komunikasi yang meliputi pemetaan kawasan risiko (hotspot) bencana berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); selain membuat pemantauan berterusan melalui Dashboard Pengurusan Bencana.
Fasa kedua pula melibatkan respons semasa bencana iaitu memantau kawasan berisiko tinggi termasuk pemasangan sumber kuasa alternatif seperti penjana elektrik mudah alih dan penambahan bekalan bateri.
Bagi fasa ini, MCMC turut menyediakan pelan kontingensi oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi dengan pemasangan wifi percuma bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi kekal berfungsi semasa bencana.
Fasa ketiga pula ialah pemulihan pascabencana iaitu dengan menyemak Prosedur Operasi Standard (SOP) melalui pascanilai (post-mortem) bagi memastikan sektor komunikasi kekal lancar.
Selain itu, MCMC juga turut menambaik baik sektor pos dan kurier agar keperluan logistik dan penghantaran barangan dapat dilakukan di kawasan yang terjejas.
"Semasa banjir besar tahun lalu, rakan industri seperti Pos Malaysia, JnT, Ninja Van dan Lazada terus mengambil inisiatif menyusun semula laluan penghantaran melalui laluan alternatif. Sekaligus, memanstikan barangan keperluan asas, dokumen rasmi dan bantuan awam sampai kepada penerima tepat pada masanya, " katanya.
Rangka kerja itu telah diedarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri pada minggu lalu bagi tujuan pelaksanaan kesiapsiagaan.
Abdul Karim Fakir berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Kesiapsiagaan MTL Sektor Komunikasi, Pos dan Kurier di Kuantan, Pahang.
Pada majlis itu, MCMC ditauliah sebagai sebahagian daripada Civil Defence Auxiliary (CDA) bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
