(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Langkah bagi menggalak serta mempercepatkan pembangunan ekonomi di kawasan kurang membangun sedang dilaksana.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuk Sabah dan Sarawak serta kawasan-kawasan sempadan negara.
Beberapa strategi dan langkah berterusan dilaksanakan kerajaan termasuk membangunkan infrastruktur asas seperti jalan, air, elektrik dan internet, selain merancakkan aktiviti ekonomi bernilai ditambah seperti industri aeroangkasa, pelancongan, gas asli dan sebagainya.
"Sehingga tempoh pelan Pusingan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12, peruntukan pembangunan yang diluluskan adalah berjumlah RM31.086 bilion iaitu RM16.73 bilion bagi Sabah dan RM14.35 bilion bagi Sarawak.
"Peruntukan RP3 tahun 2023 yang diluluskan bagi Sabah adalah berjumlah RM5.6 bilion, manakala peruntukan bagi Sarawak berjumlah RM5.7 bilion. Ini merangkumi pembinaan infrastruktur termasuk jalan, sekolah, hospital dan sebagainya", kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan wakil Keningau Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
(Foto hiasan)